Monday, November 2, 2009

Kaulah satu-satunya...


Wajah itu jarang tersenyum; tetapi amat menyenangkan tika memandangnya. Jarang bergurau; tegas, tetapi penyayang. Jarang bercakap tapi sesekali memberi nasihat, hati tersentuh dan mampu menitiskan air mata sesiapa yang mendengar. Hidup penuh dengan pengalaman, membuatkan dia seperti kaunselor ketika memberi nasihat. Itulah insan yang kukenali sejak lahirnya aku di dunia. Insan yang menjemputku ke dunia ini. Ayah, dirimu hanya satu dan tiada gantinya...

Melewati hari-hari dewasaku, kadangkala aku kembali mengingati nostalgia bersama ayah. Tapi, bila dikenang kembali, memori bersama ayah itu mampu membuatkan aku tersenyum, menangis - bersyukur kerana dikurniakan seorang ayah yang begitu penyayang, bertanggungjawab, penuh kasih sayang walaupun jarang ditunjukkan dan diluahkan melalui perbuatan mahupun kata-katanya...

Aku, anak ke-2 daripada empat adik beradik. Seorang kakak dan dua orang adik lelaki, turut berkongsi ayah yang sama denganku. Kata emak, sewaktu aku dan kakak masih kecil, kalau hendak membeli baju untuk kami, ayah dan emak tentu memilih baju yang sama corak cuma berlainan warna. Katanya, takut kami dua beradik bergaduh siapa yang dapat baju cantik dan siapa dapat baju yang tak cantik. Begitu awal, ayah sudah mengajar kami agar tidak mencemburui apa yang dimiliki orang lain...

Memandangkan anak pertama dan kedua ayah, anak perempuan maka ketika emak mengandungkan anak ketiganya, ayah amat berharap agar bayi itu bayi lelaki. Dan doa ayah termakbul. Tapi, adikku lahir tidak cukup bulan. Aku masih ingat, ayah menangis ketika memegang adikku yang begitu kecil, dengan berat tidak sampai dua kilogram! Sampai sekarang ayah amat menyayangi adikku dan tidak menyangka adikku dapat hidup sehingga ke hari ini...

Seperti yang aku nyatakan tadi, ayah amat penyayang cuma ayah tidak pernah tunjukkannya. Waktu itu, aku dalam darjah empat dan kakakku dalam darjah enam. Kakak terjatuh dari basikal dan lukanya agak teruk. Gusi kakak terkoyak dan memerlukan jahitan. Ayah marah emak sebab biarkan kakak pergi kedai menaiki basikal. Kata emak; "Ayah kau memang sayangkan kau orang. Apa-apa yang jadi dekat anak-anak dia, aku yang kena marah." Kesian emak, tapi mungkin itu cara ayah sebab dia terlalu sayang dan bimbangkan anak-anaknya...

Waktu aku bersekolah rendah, aku amat lemah dalam matapelajaran Matematik. Bayangkan, walau sudah berada dalam darjah lima pun aku masih belum mampu menghafal sifir. Aku selalu dimarahi dalam kelas Matematik kerana tidak dapat menjawab soalan guruku. Suatu hari, ayah dipanggil guru Matematikku ke sekolah. Guru matematikku menceritakan masalahku pada ayah. Ayah amat marah waktu itu. Balik saja ke rumah, aku lihat ayah sedang menulis sifir di atas kertas manila dan ditampal sifir itu di hujung katilku. Dengan tegas, ayah menyuruh aku menghafal sifir dan setiap minggu dia akan menguji aku sama asa aku sudah menghafalnya atau belum. Kerana takut akan dirotan ayah, bertungkus lumus aku menghafalnya. Dan aku berjaya juga akhirnya...

Tentang pelajaran, ayah memang tegas. Dan perkara yang paling aku dan kakak takutkan ialah ketika hari ibu bapa diminta datang ke sekolah untuk mengambil kad laporan pelajar. Jika di dalam kad laporan pelajar itu ada matapelajarn yang kami tidak lulus, kami memang tahu apa yang akan berlaku sebaik saja pulang dari sekolah nanti. Jika kawan-kawan yang lain gembira apabila ibu atau bapa mereka datang kerana selepas itu mereka boleh balik awal, kami pula kalau boleh tidak mahu ayah datang. Seperti yang kami jangka, balik saja dari sekolah, ayah menyuruh kami berdua mengadapnya. Dan kami tahu rotan adalah habuan kami. Tapi, terima kasih ayah. Kalau tidak kerana ketegasan ayah itu, kami tidak akan berjaya dalam pelajarn hari ini...

Ayah memang tidak suka kami tidak hadir ke sekolah walaupun kami tidak sihat. Ayah memang akan mengamuk jika mendapati kami tidak hadir ke sekolah. Kalau kami sakit dan tidak mahu ke sekolah, ayah menyuruh kami menggayakan orang menyuap makanan. Jika kami masih larat mengangkat tangan untuk menyuap makanan, kata ayah kami masih mampu untuk ke sekolah. Dan dia bertegas menyuruh kami ke sekolah. Mungkin ayah tidak mahu kami rugi satu hari pelajaran di sekolah. Kadangkala jiwa muda kami memberontak tapi kami sedar ayah lakukannya bersebab...

Aku tidak ingat waktu itu berapakh usiaku tapi waktu itu aku masih bersekolah rendah. Aku dan kakak sering pergi bermain di rumah kawan kami. Satu hari itu, kami berdua bermain sehingga ke petang di rumah kawan kami itu. Bila kami berdua balik, ayah sudah membungkus pakaian kami berdua dan diletakkan di luar pintu rumah. Kami cuba membuka pintu rumah tapi ayah telah mengunci pintu dan tidak membenarkan kami masuk. Kata ayah; "Pergilah duduk dekat rumah kawan kau tu! Main sampai tak ingat nak balik rumah. Tak ingat rumah tangga!" Ayah cukup marah waktu itu. Kami berdua menangis meminta maaf tetapi ayah tak pedulikan kami. Akhirnya setelah dipujuk emak, ayah lembut hati dan membenarkan kami masuk. Selepas dari hari itu, kalau kami bermain, kami akan balik ke rumah sebelum tengah hari dan petangnya baru kami keluar bermain lagi...

Tapi, semakin ayah berumur, ayah tidak setegas dulu. Adik-adikku jarang dimarah dan tidak pernah dirotan jika keputusan peperiksaan mereka teruk. Aku tak tahu kenapa, mungkin ayah sudah tua dan tak larat hendak marah-marah selalu. Tapi, aku berani katakan adik-adikku rugi sebab tanpa kawalan ayah, keputusan peperiksaan mereka kurang memuaskan dan adik-adikku tidak mempunyai semangat belajar untuk mendapatkan keputusan periksa yang elok. Kalau kami dulu, memang bersugguh-sungguh belajar supaya tidak dirotan ayah. Hasilnya kami berjaya. Tapi, adik-adikku tidak begitu membanggakan. Aku tidak pernah salahkan ayah. Pokok pangkalnya diri sendiri kalau hendak berjaya...

Setelah tamat pengajian di kolej, tibalah waktu yang dinanti-nantikan. Hari konvokesyen yang berlangsung di UPM itu, merupakan saat yang paling menggembirakan aku. Aku gembira kerana akhirnya, seorang dari anak ayah berjaya merangkul segulung diploma. Ayah tidak menunjukkan reaksi gembiranya dengan ketara tapi aku tahu dalam hati ayah, betapa ayah bangga dan gembira hari itu. Tapi, bila ayah tidak mahu masuk ke dewan menyaksikan aku menerima diplomaku, hatiku hancur dan hampir aku menangis ketika itu. Setelah emak memujuk, akhirya ayah masuk juga ke dewan. Terima kasih ayah, kerana sudi melihat anakmu ini menerima diplomanya!!!

No comments:

Post a Comment